Wednesday, September 30, 2009

Kenyataan oleh masyarakat KadazandusunUlu Papar yang terdesak akibat Projek Empangan Kaiduan


Salam hormat Tuan, Puan.

Pada hari ini seramai 250 orang penduduk kampung telah berkumpul di kampung ini yang terdiri daripada wakil-wakil masyarakat Orang Asal dari sembilan buah kampung iaitu, Kg. Terian, Kg. Babagon Laut, Kg. Timpayasa , Kg. Tiku, Kg. Buayan , Kg. Pongobonon, Kg. Kalanggaan, Kg. Timpangoh dan Kg. Longkogungan. Semua kampung ini akan mendapat kesan negatif daripada Projek Pembinaan Empangan Kaiduan.

Kami berkumpul di sini untuk berbincang dan menyuarakan bantahan kami terhadap Projek Pembinaan Empangan Kaiduan kerana ia akan menenggelamkan kawasan tanah adat kami dan juga memusnahkan hutan tempat pencarian kehidupan kami.
Kami dengan sebulat suara menyatakan bahawa kami tidak mahu dipindahkan dari kawasan tempat asal kami yang merupakan warisan sejarah sumber dan kehidupan kami sejak bergenerasi.

Empangan ini akan memusnahkan sumber-sumber alam semulajadi, termasuklah spesies-spesies tumbuhan, haiwan dan merosakkan kesinambungan ekosistem yang telah lama wujud di antara kawasan Ulu Papar dan Taman Banjaran Crocker. Pembinaan Empangan Kaiduan akan menenggelamkan kawasan sawah padi, harta benda, ladang-ladang dan kawasan hutan yang merupakan punca ubat-ubatan tradisi, buah-buahan, haiwan dan juga tempat dimana kami menangkap ikan.

Kami, masyarakat di kawasan ini telah berusaha berkerjasama dengan agensi kerajaan untuk menjaga dan memelihara kepelbagaian biologi di kawasan kami. Kami tidak mahu usaha-usaha ini tersia-sia. Kami sangat bimbang terhadap generasi kami yang akan datang jika Projek Pembinaan Empangan Kaiduan diteruskan. Ini kerana kami akan dipaksa berpindah dari tempat asal kami yang merupakan sumber sara hidup, budaya dan warisan kami.

Kami mengecam tindakan Kerajaan Negeri dalam merancang projek ini kerana kelulusan projek ini oleh Kabinet pada 13 April tidak mempunyai kajian kesan sosial dan alam sekitar dan tidak mendapat izin yang berdasarkan makluman awal, bebas dan telus dari kami. Ini adalah satu perlanggaran terhadap hak kami sebagai orang asal yang terkandung dalam Deklarasi PBB terhadap Hak Orang Asal yang telah disokong oleh kerajaan Malaysia di peringkat PBB. Kami juga kecewa dengan pendekatan kerajaan dalam proses perancangan ini kerana tidak melalui perancangan yang telus, dan ini bercanggah dengan janji-jani Kerajaan Barisan Nasional terhadap Konsep 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Dengan tidak membuat perbincangan bersama dengan kami, ini menunjukkan kerajaan telah mengetepikan rakyat dan mengutamakan projek semata-mata.

Kami membidas laporan yang telah dibuat oleh WCT Berhad semasa membentangkan cadangan projek ini kepada Kabinet, dimana kononnya kawasan ini tidak berpenghuni, tidak mempunyai hak terhadap tanah, dan kawasan hutan di sini sudah rosak. Ini menunjukkan tiada kajian terperinci yang telah dijalankan oleh mereka yang mencadangkan projek ini. Ia juga adalah satu pembohongan dan manipulasi fakta untuk mendapatkan projek semata-mata. WCT Berhad sebagai satu syarikat besar mempunyai tanggungjawab sosial koprat (CSR) dalam menjalankan perniagaannya.

Kami berpendapat bahawa projek ini harus dipindahkan ke Sungai Mondolipau kerana ia akan memberikan kesan yang lebih sedikit berbanding dengan pembinaan empangan di sungai utama di kawasan Ulu Papar. Kami juga menuntut bahawa kajian lebih terperinci harus dijalankan sebelum projek ini diteruskan kerana ia melibatkan sejumlah besar wang rakyat yang sepatutnya ditujukan ke arah pembangunan yang mapan.

Kami juga mahu Wakil Rakyat kami Ahli Dewan Undangan Negeri YB Donald Mojuntin dan Ahli Parliamen Penampang Tan Sri Bernard Giluk Dompok yang juga merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia untuk membawa perkara ini ke pihak atasan supaya menghentikan projek ini sehingga satu kajian kesan sosial dan alam sekitar dijalankan dan alternatif yang lebih mesra kepada alam dan manusia disediakan untuk projek ini.

Dengan ini kami masyarakat Orang Asal di Ulu Papar tidak akan berganjak dari tempat nenek moyang kami dan bersedia untuk berjuang dengan nyawa kami untuk mempertahankan hak kami.

Sekian dan terima kasih,

Kenyataan akhbar ini
Dibaca oleh
Nousi Giun
Pengerusi Badan Bertindak Bantah Empangan Kaiduan
20 September 2009